23 JULAI: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memulakan perancangan ke arah memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tindakan ini dilakukan bagi menjamin aspek keadilan dan memenuhi prinsip keluhuran undang-undang (rule of law).
Dalam masa sama, beliau menegaskan perancangan tersebut juga dapat mengelakkan berlakunya percanggahan kepentingan (conflict of interest),
“Perkara ini akan ditambah baik melalui kajian perbandingan dengan negara-negara lain namun dengan kesesuaian sistem perundangan di negara ini.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka dan bersedia mengambil langkah-langkah bagi memelihara integriti serta kepercayaan awam terhadap badan perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan seumpamanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan juga tiada halangan mempertimbangkan langkah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan fakta dan undang-undang.
“Keperluan itu juga sebagai langkah-langkah pihak-pihak tertentu yang boleh menimbulkan persoalan integriti dan keyakinan terhadap badan perundangan yang sepatutnya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dalam aspek perundangan serta penjaga kepada keadilan jenayah, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH