24 JULAI: Malaysia dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk mengadakan satu Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal peringkat pegawai bagi memuktamadkan memorandum persefahaman (MOU) pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di negara ini secepat mungkin.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata kata sepakat itu dibuat di akhir perbincangan antara kedua-kedua negara yang diadakan secara maya semalam bagi memuktamadkan MOU PDI di Malaysia.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan menerusi KSM yang prihatin dengan keperluan mendesak masyarakat agar isu pembantu rumah dapat ditangani dengan secepat mungkin,” kata KSM dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perbincangan semalam disertai wakil KSM dan Kementerian Luar Negeri bagi pihak kerajaan Malaysia manakala kerajaan Indonesia diwakili Kementerian Ketenagakerjaan, Kementerian Luar Negeri dan Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia.
Mengulas lanjut, KSM berkata perbincangan awal itu adalah susulan daripada lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta pada awal Februari lepas, dengan Presiden Indonesia Joko Widodo memohon untuk dipercepatkan pemeteraian MOU PDI selepas Malaysia menyatakan komitmen untuk meneruskan pengambilan PDI di Malaysia.
MOU itu telah ditandatangani buat pertama kalinya pada 13 Mei 2006 di Bali dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016.
Menurut KSM, antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan ‘one channel system’, konsep ‘one maid one task’, gaji pekhidmat domestik dan hal-hal kebajikan serta perlindungan pekerja migran Indonesia di negara ini.
Katanya konsep ‘one channel system’ diberikan penekanan bagi memastikan saluran kemasukan pekhidmat domestik Indonesia secara teratur dan lebih telus dari Indonesia terutama dari aspek gaji dan pemeriksaan kesihatan.
“Malaysia dan Indonesia secara dasarnya bersetuju untuk melaksanakan integrasi sistem sedia ada di kedua-dua negara bagi melaksanakan ‘one channel system’.
“Malaysia turut mengemukakan cadangan balas berhubung isu ‘one maid one task’, dengan mengetengahkan aspek mengenai bilangan isi rumah, contohnya enam orang ahli isi rumah bagi satu PDI.
“Cadangan itu dikemukakan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan semasa perbincangan secara maya dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah pada Mei 2021,” katanya.