26 JULAI : Lebih 400 stesen minyak Petronas di seluruh negara menyediakan ‘food bank’ dalam usaha untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) menerusi satu kenyataan berkata, usaha yang pertama kali dimulakan oleh pengedar stesen individu, kini ditambah dengan sumbangan daripada komuniti sekitar stesen yang tampil untuk turut serta.
Setakat ini, menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani , PDB telah memperuntukkan bekalan makanan bernilai RM600,000 dalam usaha untuk mempertingkatkan program itu agar dapat menjangkau lebih banyak penerima bantuan.
“Kami memanfaatkan rangkaian fizikal, mengaktifkan platform digital dan mahu memudahkan semua orang untuk turut serta.
“Dalam tempoh yang mencabar ini, sungguh menggembirakan apabila melihat rakyat Malaysia berkumpul, termasuk pengedar stesen kami membantu mereka yang benar-benar memerlukan
“Kami menghargai sikap muhibah ini dan bersama-sama kami akan meningkatkannya untuk memberi impak yang lebih besar,” katanya.
Melalui ciri baharu dalam aplikasi Setel, penerima bantuan dan mereka yang lebih suka menyumbang secara fizikal dapat mencari stesen peserta program terbabit.
Pengguna Setel juga boleh memilih untuk membeli pek makanan dari kenderaan mereka melalui ‘Deliver2Me’ ketika berada di stesen.
Orang ramai juga boleh menyumbang secara dalam talian dari kediaman mereka secara selamat, manakala ahli Mesra boleh menebus dan menukar mata ganjaran menjadi pek makanan melalui aplikasi Setel.
“PDB tidak membuat keuntungan daripada sumbangan ini, jadi semua orang boleh yakin bahawa setiap ringgit akan dihantar terus kepada penerima. Kami berharap dapat mengumpulkan syarikat dan orang ramai dengan program ini.
“Kami juga bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, rakan perniagaan dan dalam Kumpulan PETRONAS untuk jangkauan yang lebih luas dan impak yang lebih besar.
“Ini adalah permulaan yang menggembirakan, dan kami berharap dapat berkongsi lebih banyak kemas kini mengenai inisiatif ini,” katanya kenyataan itu lagi.
Baru-baru ini, PDB memberikan kopi dan makanan ringan kepada 20,000 barisan hadapan di seluruh negara melalui Kempen Coffee Break PETRONAS.
Azrul berkata, Kempen Coffee Break PETRONAS kini memasuki tahun ke-23 dan lazimnya memberi manfaat kepada pengguna kenderaan yang pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Beliau berkata, berikutan pandemik dan sekatan perjalanan, pihaknya mengalihkan sumbangan kepada barisan depan, dengan harapan usaha yang dilaksanakan itu dapat menaikkan semangat mereka dan mengingatkan mereka untuk berehat dan kembali bertenaga semula.
Rakan kongsi kempen termasuk Nestlé Products Sdn Bhd, Delfi Marketing Sdn Bhd, iNova Pharmaceuticals (Singapore) Pte Ltd (Malaysia Branch), Julie’s Manufacturing Sdn Bhd, Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd, Karabao Marketing (M) Sdn Bhd, S.L. Marketing (M) Sdn Bhd, Yee Lee Trading Co Sdn Bhd dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.