26 JULAI : Usaha Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Peraturan-Peraturan Mesyuarat bagi menindakkan persidangan yang baharu sahaja bermula hari ini, gagal.
Ini disekolah Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-Undang) ‘sekolahkan’ mereka di Dewan Rakyat sebelum persidangan bermula.
Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang antaranya dari Warisan Semporna Datuk Seri Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Pejuang Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP Puchong, Gobind Singh Deo hanya membangkitkan perkara sama kononnya persidangan khas Dewan Rakyat melanggar titah Seri Paduka Baginda dan bercanggah dengan perlembagaan.
Mereka juga cuba mengalih isu yang dibangkitkan dengan muslihat mahu menuntut undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mempertikaikan kehadiran Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan yang telah dihadkan 80 orang pada satu-satu masa.
Ahli Parlimen PKR Selayang, William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Amanah Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut cuba memanaskan Dewan yang mencuri masa lebih sejam.
Namun, Ismail yang juga bekas timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat dengan tenang menegaskan bahawa persidanagan khas yang dilaksanakan selama lima hari ini adalah mengikut peraturan dan bersesuaian dengan peraturan mesyuarat 11 (3) dan 14 (1) (i)
“Ini sidang khas dan saya nak tanya adakah tidak pernah dilakukan…pernah, dah beberapa kali kita lakukan mengikut peraturan mesyuarat 11 (3). Yang kedua rujuk kepada peraturan 14 (1) (i). Ini bermakna tidak salah adakan persidangan khas dan ada penerangan Menteri-Menteri seperti yang sedang kita lakukan.
“Selain itu, ini juga merujuk kepada peraturan mesyuarat 100 di mana kuasa Yang di Pertua untuk menjelaskan, menentukan apa-apa peraturan yang tidak disebut dalam peraturan mesyuarat.. Oleh kerana itu, Yang Berhormat Puchong (Gobind), kita boleh hadkan masa jumlah had bilangan dalam satu-satu masa,”katanya.
Kenyataan itu masih membuatkan pembangkang khususnya Gobind berangin dan dilihat masih tidak berpuas hati dengan jawapan Ismail namun telah ditegur oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun agar memberikan ruang kepada Timbalan Menteri untuk memberikan penerangan.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang turut diberi peluang oleh Azhar mencelah membidas dakwaan pembangkang bahawa persidangan khas ini tidak akan membentangkan berkenaan ordinan dan proklamasi darurat.
Beliau memaklumkan bahawa peruntukan mesyuarat jelas bahawa perintah tetap (standing order) boleh dianggap sebahagian dari perlembagaan kerana dibuat berdasrkan perkara 61 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan kepada peraturan 11 (3) rakan-rakan pembangkang jelas menyatakan dalam konteks Parlimen Malaysia ada sidang biasa dan sidang khas contohnya ketika diadakan bagi membincngkan isu penerobohan Israel pada 2009.
“Peraturan mesyuarat 11 (3) juga memberi kuasa kepada Perdana Menteri meminta Speaker untuk memanggil sidang khas dan surat telah pun diserahkan kepada speaker bahawa ia diadakan demi kepentingan rakyat dan orang ramai dan dalam surat tersebut salah satunya ialah akan membentangkan proklamasi darurat dan ordinan daruray,”katanya.
Untuk rekod, Sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini sehingga 1 Ogos depan bukanlah satu hal yang baru. Ianya dibenarkan melalui Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 11 (3).
Sidang Khas Parlimen pernah diadakan pada 12 Januari 2009 di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk mengutuk serangan tentera Israel terhadap Gaza.
Begitu juga semasa zaman Datuk Seri Najib Razak , dua Sidang Khas pernah diadakan, semasa tragedi insiden tembak jatuh pesawat MH 17 pada 23 Julai 2014 dan pada 21 Januari 2016 untuk membincangkan Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik.– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH