26 JULAI: Syarikat swasta yang mengendalikan penerbangan helikopter Bell 505 yang mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan nasi ganja, Jumaat lalu mempunyai surat kebenaran rentas negeri dikeluarkan polis Selangor.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu hasil siasatan dan rakaman percakapan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk.
“Ketiga-tiga percakapan saksi ini telah dirakam pada hari ini.
“Polis juga akan memanggil pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri atau daerah di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 Akta 342,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis sebelum ini mengesahkan bahawa semakan dengan CAAM mendapati helikopter tersebut mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh.
Pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 9.08 pagi.
Ia menjadi tular apabila dikesan mendarat di Padang Ipoh pada jam antara 9.55 hingga 10.15 pagi untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah dari sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Ipoh.