29 JULAI: Seorang pekerja warga asing maut manakala dua cedera dalam insiden runtuhan perancah besi struktur binaan laluan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Jalan Langat, Bandar Bukit Tinggi, Klang hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, lima buruh warga asing terbabit sedang menjalankan kerja-kerja menuang konkrit di atas struktur binaan tersebut.
“Akibat runtuhan berkenaan, empat orang mangsa terjatuh menyebabkan dua tersepit di bawah manakala seorang terperangkap di atas struktur tersebut.
“Dua orang mangsa yang tersepit cedera di muka manakala mangsa yang terperangkap di atas meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shamsul, ketiga-tiga mangsa yang terperangkap dikeluarkan oleh pihak bomba sekitar jam 4.30 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) dan kematian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.