31 JULAI : Sebanyak 1,000 bakul makanan akan diedarkan kepada golongan terjejas kerana pandemik COVID-19 membabitkan ahli kariah empat masjid di kawasan Segambut iaitu Masjid Al-Qurtubi, Masjid Imam Al-Ghazali, Masjid Al-Ubudiah dan Masjid Al-Firdaus.
Sumbangan hasil kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program CSR MOF-LHDN turut menyasarkan rakyat pelbagai kaum, selain kariah di empat kawasan tersebut.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerjasama antara MOF dengan LHDN itu menterjemahkan usaha kerajaan membantu meringankan beban rakyat terjejas akibat pandemik.
“Selain itu, usaha ini juga dapat memastikan kebajikan mereka terbela dengan mempunyai bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Majlis penyerahan bakul makanan itu disempurnakan Tengku Zafrul di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail.
LHDN sementara itu berkata, sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran setiap program membabitkan kesejahteraan rakyat.
Menurut Dr Sabin Samitah, program sedemikian juga dapat mengeratkan hubungan LHDN dengan rakyat, sekali gus meningkatkan kesedaran mereka berkenaan pentingnya sumbangan cukai pendapatan untuk manfaat negara.
“Saya berharap inisiatif dan kerjasama sebegini diteruskan pada masa depan supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu khususnya golongan sasar yang amat memerlukan bantuan,” katanya.