2 OGOS: Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka dilaksanakan secara sidang maya bermula jam 4 petang esok.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan perihal kenyataan media Istana Negara warkah Yang di-Pertuan Agong,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
“Antara perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan Istana Negara, isu darurat dan ordinannya dan penangguhan sidang Parlimen hari ini,” katanya menerusi laman Twitter miliknya, hari ini.
Terdahulu, kali terakhir MKT UMNO mengadakan mesyuarat pada 7 Julai lalu yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mesyuarat MKT UMNO ketika itu menjadi tumpuan ramai keputusan parti itu mengumumkan akan menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.