2 OGOS: Keghairahan blok Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menunggang emosi sesetengah kelompok masyarakat ketika waktu bencana wabak pandemik COVID-19 adalah bersifat opportunis dan pentingkan diri.
Lebih mengecewakan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, tidak cukup dengan istilah rakyat, kini pembangkang mula mengheret nama Yang di-Pertuan Agong hingga ke jalanan kononnya puak merekalah pelindung kuasa monarki.
“Pembangkang serta beberapa anak muda yang terhasut itu terus menjerit kononnya demokrasi telah mati di negara ini kerana Parlimen ditutup. Kononnya hak bersuara terhalang akibat darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ingin saya bertanya, demokrasi bebas jenis macam mana lagi yang kalian mahu ketika negara sedang berperang dengan wabak global ini? Di kala musuh sedang menunggu saat membunuh kita semua, kalian mahu bebas berkeliaran.
“Bagi mereka semua pihak tidak betul di negara ini kecuali puak mereka sahaja. Apa yang mereka tidak sedar ialah COVID-19 pun mempunyai sentimen begitu, manusia tidak pernah betul dari perspektif virus kerana manusia ini degil dan ramai yang jahil,” katanya menerusi kenyataan kepada PNBBC Portal, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 450 individu telah terlibat memenuhi Dataran Merdeka pada Sabtu lalu bagi menyertai Himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang turut disertai oleh beberapa pemimpin parti pembangkang
Hari ini juga puluhan Ahli Parlimen pembangkang berarak menuju semula ke Parlimen selepas berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10.20 pagi tadi yang tidak berpuas hati kerana Persidangan Khas Dewan Rakyat ditangguhkan disebabkan peningkatan kes COVID-19 di Parlimen.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz memaklumkan ini membuktikan negara sedang menghadapi kemabukan politik pada tahap luar biasa yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) yang ingin menjatuhkan kerajaan namun tiada perancangan konkrit bagi membangunkan negara.
Justeru, beliau menegaskan waktu berlembut dengan puak pencetus huru-hara politik di negara ini sudah sampai di penghujungnya kerana rakyat mahukan jalan keluar dan penyelesaian, bukan janji manifesto dan harapan palsu lagi dari wakil rakyat.
“Jika di kalangan mereka pun tiada konsensus mengenai kepimpinan negara, bagaimana lagi untuk yakinkan rakyat bahawa puak mereka layak mentadbir Malaysia dengan lebih efektif malah menyelesaikan masalah negara akibat bencana skala global seperti COVID-19 varian Delta ini.
“Ketika usaha vaksinasi nasional makin rancak dan banyak kawasan serta negeri yang beralih ke fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka makin pendeklah jangka hayat retorik politik watak yang telah lama menjadi “PM in waiting” tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz mempersoalkan jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan 107 sokongan Ahli Parlimen akan menjadikan beliau sebagai seorang Perdana Menteri seterusnya.
Beliau menjelaskan sejak dari awal lagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa mengikuti segala prosedur perundangan melalui nasihat pejabat Peguam Negara dan juga bertindak dalam hal kesihatan berpandukan saranan dari pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Demi kebangkitan semula negara dan bangsa kita pasca COVID-19 yang makin menjelma, saya seru kita semua, sama ada orang politik atau tidak, sama ada pemimpin atau rakyat, bersatulah kita semua dan bantulah sesama warga kita dengan ikhlas semampu boleh.
“Mainkan peranan masing-masing dalam komuniti masyarakat, jernihkanlah perbezaan ideologi politik wabak, Perdana Menteri kita sentiasa terus berusaha menstabilkan keadaan dengan bantuan pelbagai pihak terutamanya pasukan petugas barisan hadapan serta jemaah kabinetnya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH