3 OGOS: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) susulan peralihan Sarawak ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa Rabu ini.
Penasihat JPBN Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata pertimbangan perlu dibuat bagi mengekang penularan COVID-19 terutama membabitkan varian Delta.
“Kita perlu belajar daripada orang lain, apa yang tidak perlu dilakukan terutama kejadian ‘silent hypoxia’ (kekurangan oksigen yang tidak diketahui) dan menyebabkan kematian tinggi di Semenanjung termasuk sindrom COVID-19 yang panjang supaya orang Sarawak selamat ketika memulakan Fasa 3 PPN.
“Begitupun, rakyat Sarawak bangga dengan pengiktirafan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke atas negeri ini yang memenuhi nilai ambang PPN untuk beralih ke Fasa 3 PPN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kui Hian yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha Sarawak yang bersatu padu memerangi COVID-19 menerusi kadar tinggi vaksinasi dos satu dan dua serta penurunan drastik pesakit kategori 3, 4 dan 5 di hospital.
Bagaimanapun, katanya, rakyat Sarawak perlu terus berhati-hati dengan mematuhi SOP dan mengamalkan keselamatan diri bagi mengelak penularan COVID-19 terutama penularan varian Delta ketika ini.
“Kita masih hidup dengan virus dan perlu berwaspada ketika keluar terutama varian Delta serta jumlah kes positif yang tinggi di Kuching, Samarahan dan Serian,” katanya.