4 OGOS: Pucuk kepimpinan UMNO harus meletakkan kepentingan negara mendahului politik kepartian pada saat negara sedang menghadapi krisis pandemik COVID-19 yang masih tinggi.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui terkejut dan kecewa dengan keputusan terkini UMNO menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga mencetuskan kacau-bilau politik pada saat krisis pandemik COVID-19.
Beliau berpandangan UMNO sepatutnya mengambil pendekatan dan bersikap lebih bertanggungjawab dengan cenderung agar tidak mencetuskan ketidakstabilan politik pada saat genting ketika ini.
“Bila keadaan sebegini berlaku, keputusan UMNO itu meletakkan negara dalam situasi kacau-bilau politik, lebih-lebih lagi pada saat masih ramai rakyat menderita akibat pandemik.
“Implikasi paling teruk akan dirasai rakyat memandangkan mereka akan menjadi lebih susah, terutama pada saat pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengulas tindakan UMNO telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan PN kerana merasakan pentadbiran kerajaan hari ini gagal menangani pelbagai masalah termasuk ingkar titah Seri Paduka Baginda untuk membentang seterusnya membahaskan usul Ordinan Darurat di Dewan Rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media pada Selasa turut berkata, partinya sudah menghantar surat akuan kepada Seri Paduka Baginda dengan angka yang menunjukkan PN sudah hilang majoriti.
Walaupun diuar-uarkan hebat menerusi media sosial sejak malam tadi bahawa 12 Ahli Parlimen UMNO bersama Ahmad Zahid namun difahamkan tidak semua yang bersama Presiden UMNO itu telah menandatangani SD dan Zahid masih belum mengesahkan perkara itu.
Berkenaan dakwaan kerajaan PN sudah hilang keabsahan, Ahmad Faizal atau lebih dikenali Peja mengakui perkara itu mungkin boleh jadi kebenaran sekiranya jumlah 12 ahli Parlimen UMNO yang bersama-sama Ahmad Zahid, benar-benar menandatangani SD sebagaimana didakwa.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tambun itu berpandangan Yang di-Pertuan Agong boleh mempertimbangkan kaedah penubuhan kerajaan minoriti sekiranya kedudukan Parlimen tergantung kelak.
“Penubuhan sebuah kerajaan minoriti bukan suatu perkara janggal dengan seseorang ahli Parlimen yang mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak meskipun tidak capai sokongan majoriti, boleh dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri baharu.
“Bila Zahid kata sudah persembahkan SD ahli Parlimen mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan kerajaan PN, berdasarkan kehadiran 10 ahli Parlimen lain yang berdiri bersama beliau, kita sudah nampak yang kerajaan PN boleh jatuh dengan angka itu.
“Cuma sekarang ke mana arahnya ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak lagi menyokong PN ini? Kalau sokongan mereka kepada calon perdana menteri baharu berpecah-pecah, jadi kemungkinan tiada pihak mempunyai jumlah majoriti sokongan ahli Parlimen yang jelas, “katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizal menegaskan kaedah penubuhan kerajaan minoriti tidak boleh disamakan dengan kerajaan interim yang lebih bersifat sementara dan ditubuhkan atas tujuan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) baharu.
“Bahkan sekiranya Tan Sri Muhyiddin atau Najib sekali pun mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak meskipun tidak capai majoriti, maka kerajaan minoriti itu tidak semestinya masih kekal dipanggil kerajaan PN.
“Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan kaedah terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu sekiranya tiada pihak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen kelak,” katanya.