5 OGOS: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meluahkan rasa dukacita dengan konflik politik yang melanda di dalam negara ketika ini termasuk isu penamatan ordinan darurat.
Lebih mengecewakan, negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 yang amat teruk dan segala usaha sepatutnya ditumpukan untuk menangani masalah itu.
“Kita berbalah mengenai acara menamatkan kuat kuasa ordinan-ordinan darurat. Tiada siapa sukakan deklarasi darurat. Tiada siapa membantah ordinan-ordinan darurat hendak ditamatkan kuat kuasanya.
“Tetapi kita berbalah bagaimana penamatan kuatkuasa ordinan-ordinan itu hendak dilakukan hingga hendak menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.
“Kesilapan Menteri yang begitu kecil dalam penjelasannya dalam Dewan Rakyat diperbesar-besarkan sedangkan kegagalan mematuhi peruntukan Perlembagaan yang jelas tidak diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, apa yang menjadi tumpuan pembangkang sekarang dan disokong pula oleh UMNO kumpulan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib dan penyokong-penyokong mereka adalah bagaimana hendak menjatuhkan Kerajaan.
Selain itu, katanya, pemimpin-pemimpin DAP juga sudah nampak peluang baharu untuk berkuasa semula dan mula membuat tuntutan.
“Pemuda MCA tidak mahu ketinggalan dan turut-serta. Pakatan Harapan hendak berkuasa semula.
“Jika Kerajaan tumbang kerananya, ini akan menjadi satu misalan dalam sejarah negara raja berperlembagaan di mana, sebuah kerajaan telah diguling kerana melakukan suatu perkara yang betul mengikut Perlembagaan.
“Tetapi menterinya tertinggal lima perkataan semasa memberi penjelasan di dalam Parlimen, manakala raja berperlembagaan tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan mengenai bertindak atas nasihat dan pembangkang mengambil kesempatan menumbangkan kerajaan dan berkuasa semula,” katanya lagi.
Abdul Hamid menjelaskan, mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, ada tiga cara ordinan-ordinan yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada masa proklamasi darurat sedang berkuat kuasa, akan terhenti berkuat kuasa.
Katanya, cara pertama apabila ia dibatalkan (revoked) di bawah Fasal (3), kedua apabila diungkaikan (annulled) di bawah Fasal (3); dan apabila ia luput (lapses) di bawah Fasal (7).
“Pembatalan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Kabinet. Acaranya samalah seperti sesuatu ordinan itu dibuat, iaitu Kabinet memutuskan untuk mengadakan ordinan itu dan menyembahnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan dan pemasyhuran Baginda.
“Apabila Baginda memberi perkenan dan memasyhurkannya, maka berkuatkuasalah ordinan itu. Dalam hal ini Baginda bertindak atas nasihat Kabinet. Nasihat itu mestilah diikuti. Itu sistem Raja berperlembagaan,” jelasnya.
Bagi pembatalan pula, katanya, Kabinet membuat keputusan untuk membatal sesuatu ordinan pada tarikh tertentu dan menyembahnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda.
“Ordinan itu dibuat dengan perkenan Baginda, maka tentulah untuk membatalnya perkenan Baginda juga diperlukan.
“Ungkaian pula dilakukan oleh kedua-dua Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ordinan berkenaan dibentang, dibahas dan diungkai oleh kedua-dua Dewan dan terungkailah ia. Perkenan Yang di-Pertuan Agong tidak diperlukan,” katanya.
Abdul Hamid berkata, penerangan beliau itu mungkin disalah tafsir sesetengah pihak.
“Saya sedar, saya mungkin dituduh “menghina” atau “menderhaka kepada” Yang di-Pertuan Agong lagi. Tetapi, ini adalah isu tafsiran Perlembagaan. Soal menghina dan derhaka tidak timbul. Jika tidak bersetuju, kemukakanlah hujah-hujah yang lebih baik dan saya akan bersetuju dengannya,” tegasnya.