7 OGOS: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyeru supaya para pemimpin menghentikan segera politiking sehingga keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri menerusi usul undi percaya ditentukan di Persidangan Dewan Rakyat, September ini.
Justeru, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya menyifatkan tindakan mengheret rakyat kepada krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan negara berdepan ancaman pandemik COVID-19 hanya akan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.
“Keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.
“GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu politiking dan semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengambil tindakan yang amat dihormati orang ramai apabila akan menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri menerusi suatu usul undi percaya kepadanya yang akan dibentangkan di Persidangan Dewan Rakyat pada September ini.
Melalui cara tersebut, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan dalam ditentukan berlandaskan peruntukan Perlembagaan.
Dalam pada itu, Alexander memaklumkan semua Ahli Parlimen GPS tetap dengan pendirian terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapit berkata, ketetapan itu diputuskan dalam perjumpaan khas semua Ahli Parlimen GPS bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini.
“GPS juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya pentadbiran kerajaan diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.
“Satu perjumpaan khas Pengerusi GPS (Abang Johari) bersama semua Ahli Parlimen GPS diadakan di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini bagi membincangkan senario terkini politik negara.
“Semua Ahli Parlimen GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH