PDRM jalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan pembangkang
9 OGOS : Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari DAP yang dikatakan ditawarkan sejumlah wang tunai supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah berhubung dakwaan terbabit.
Berikutan itu, Hamzah menegaskan beliau sudah mengarahkan polis menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan polis yang dibuat.
“Selain merujuk laporan polis tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), siasatan juga dilaksanakan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh pihak yang terlibat.
“KDN akan memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah, termasuk pihak yang membuat laporan polis palsu dan fitnah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, SPRM menerusi kenyataan hari ini mengesahkan telah mengambil keterangan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan beberapa Ahli Parlimen parti itu ditawarkan rasuah supaya menyokong kerajaan PN.
Sebelum ini beberapa Ahli Parlimen PH mendakwa ditawarkan wang sehingga RM30 juta dan jawatan menteri untuk meninggalkan parti itu dan memberi sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan diuji keabsahannya di Parlimen, pada September depan.
Malah, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendakwa mereka ditawarkan ganjaran dan kedudukan itu oleh pihak yang tidak dikenali.
Poay Tiong mendakwa kononnya beliau ditawarkan “durian RM30” dan jawatan menteri menerusi mesej di WhatsApp. Manakala Ahli Parlimen Bandar, Kuching Kelvin Yii turut mendakwa menerima tawaran sama.
Kulasegaran, yang juga Naib Pengerusi DAP, kemudian membuat laporan polis selepas pegawainya menerima panggilan telefon dan mesej WhatsApp menawarkan Ahli Parlimen itu wang, jawatan menteri dan ganjaran tambahan untuk “memperolehi sokongan kepada kerajaan PN”.