10 OGOS: Kerajaan mengarahkan sebanyak 810 premis termasuk kilang dan premis perniagaan ditutup serta-merta kerana melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh lebih seminggu lalu.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sejak mengambil alih tugas pada 7 Julai lepas, setiap hari beliau menerima laporan sama daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hishammuddin yang juga Menteri Luar Negeri, berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara itu, beliau perlu tegas dalam soal pematuhan SOP melibatkan premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Apabila kemudahan beroperasi diberikan, sepatutnya tiada alasan untuk mana-mana premis ingkar SOP…besar risikonya terhadap keselamatan negara terutama dalam konteks penularan COVID-19.
“Sejak ambil alih tugas ini, setiap hari saya terima laporan daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM dan dalam seminggu lebih ini sahaja 810 premis diarah tutup serta-merta kerana ingkar SOP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan semua pihak yang terlibat kerana bertungkus-lumus menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara.
“Mengenakan tindakan bukan kemahuan saya mahupun PDRM. Tetapi jika premis sendiri tidak bertanggungjawab, maka mereka perlu tanggung akibatnya,” katanya.