12 OGOS: Seluruh rakyat Malaysia wajib mempertahankan kedaulatan negara ini daripada ancaman musuh sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berharap semua pihak tidak bersikap mementingkan diri sendiri sehingga merosakkan keharmonian dan kedaulatan negara ini.
Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat ini, Zulkifli menegaskan penting bagi seluruh rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
“Semangat ini juga menuntut kita patuh dan taat kepada pemimpin yang adil dan berpegang teguh kepada agama secara menyeluruh.
“Berasaskan kepada dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, para ulama bersepakat menyatakan, taat kepada pemerintah adalah wajib kepada setiap Muslim selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam, manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.
“Sedarlah, pada hari ini pelbagai cara sedang dilakukan oleh musuh untuk melemahkan patriotisme ummah, antaranya melalui manipulasi fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah dan pemikiran yang dilaku dan disebarkan sama ada melalui media sosial dan sebagainya,” katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang peringkat agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaari; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah; dan ketua-ketua jabatan.
Mengulas lanjut, Zulkifli, berkata sikap tidak menyayangi negara akan memporakperandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum, menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara.
“Sebab itu, orang-orang dahulukala memperkenalkan istilah seperti batu api, api dalam sekam, gunting dalam lipatan bagi menggambarkan sikap yang boleh membahayakan keselamatan rakyat dan negara.
“Penjajahan minda di bawah media baharu yang canggih menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi, malah segala maklumat memenuhi ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan.
“Proses pendemokrasian maklumat ini berjalan begitu pantas dan sebenarnya media massa mempunyai pengaruh besar dalam mencanai pemikiran rakyat.
“Sekiranya perkara ini kita hadapi tanpa strategi dan perancangan yang teratur, dibimbangi akan menghakiskan semangat patriotisme rakyat di negara ini,” katanya.