12 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan bagi menyelesaikan kemelut politik ketika ini.
Berikutan itu Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menolak dakwaan pihak tertentu kononnya Muhyiddin membuat tawaran sedemikian kepada Kabinet untuk meletakkan jawatan dalam masa terdekat.
“Perdana Menteri tidak tawar diri untuk letak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan yang viral sejak semalam mengenai peletakan jawatan Perdana Menteri berikutan perjumpaan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Seri Perdana.
Mengenai perjumpaan Perdana Menteri dengan pemimpin PN semalam, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU menjelaskan beliau tidak hadir pada perjumpaan itu.
Justeru, katanya beliau tidak dapat mengulas mengenai perjumpaan berkenaan.
Ditanya kemungkinan akan diadakan sidang khas Parlimen bagi membolehkan undi percaya dan tidak percaya dibentangkan, katanya sidang Parlimen akan berlangsung mengikut takwim yang ditetapkan.
“Sidang Parlimen akan berlangsung mulai 6 September ini, seperti yang diumumkan dan diketahui umum,” katanya.