13 OGOS: Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengajak semua pihak bersatu hati dan berusaha menyelesaikan masalah yang melanda negara ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu meminta supaya semua pihak mengetepikan perbezaan, berhenti mengkritik dan mengemukakan syor bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
“Gagal kerana belum berjaya dalam usaha, lebih baik daripada berjaya kritik tapi gagal beri solusi.
“Mari bersatu hati, gabung usaha, kritik dan solusi, ketepi dulu perbezaan, utamakan negara dan semua rakyat jelata,” kata Setiausaha Agung PAS itu dalam satu ciapan di Twitternya.
Takiyuddin turut memuat naik gambar dengan tulisan ‘Be an encourager. The world has plenty of critics already (Jadilah pendorong, dunia ini sudah penuh dengan kritikan) dalam ciapannya di Twitter berkenaan.
Ahli Parlimen Kota Bharu membuat teguran berkenaan dipercayai merujuk kepada pelbagai isu dan kemelut yang timbul dalam politik dan pentadbiran negara ketika ini.
Kemelut politik tercetus apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos lalu mengumumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, tiga hari selepas itu, Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal menyokong Perikatan Nasional (PN) serta Muhyiddin sehingga keabsahan Perdana Menteri ditentukan di Dewan Rakyat.