13 OGOS: Keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri hanya boleh ditentukan oleh Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat, pada September depan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ahli Parlimen mempunyai hak mutlak bagi menentukan kedudukan Perdana Menteri yang dijalankan menerusi prosedur tertentu ketika sidang Dewan Rakyat.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan kebebasan melaksanakan tanggungjawab mereka apabila sidang diadakan.
“Proses undi percaya terhadap Perdana Menteri adalah kaedah penting dan tidak boleh dirumus menerusi andaian atau spekulasi sehinggalah ia benar-benar berlaku di dalam Dewan Rakyat.
“Terdapat beberapa laporan berita mengenai Yang Dipertua Dewan Rakyat dikatakan memberi atau melaporkan angka jumlah sokongan (kepada Perdana Menteri) itu. Ternyata ia satu perbuatan salah dan mengelirukan.
“Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah bertanggungjawab mengikut kuasanya seperti dalam Perlembagaan dan tidak boleh melakukan sesuatu di luar peraturan.
“Sebarang angka dirumus Yang Dipertua tanpa proses undian dalam Dewan Rakyat adalah bersifat andaian, spekulatif dan tidak konklusif serta boleh dicabar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Annuar berkata demikina mengulas laporan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azizan Harun dikatakan menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen diperoleh Muhyiddin.
Muhyiddin sebelum ini menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, menerusi undian di Dewan Rakyat, Perdana Menteri mungkin tidak mendapat undi penuh dari blok kerajaan dan tidak mustahil juga boleh mendapat undi dari pembangkang.
“Kemungkinan berlaku ketidakhadiran atau hadir (Ahli Parlimen) tetapi tidak mengundi juga boleh berlaku.
“Justeru Perdana Menteri sudah menetapkan untuk kemukakan usul percaya dalam sidang biasa yang sudah dijadualkan, maka semua pihak harus bersabar dan menerima proses itu yang menepati Perlembagaan serta tepat dari segi Konvensyen Demokrasi Berparlimen,” katanya.