13 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) kesan 41 lagi kluster baharu COVID-19 di Malaysia dengan 22 daripadanya membabitkan tempat kerja, sembilan kluster komuniti, lapan kluster kumpulan berisiko tinggi dan dua institusi pendidikan di seluruh negara hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan itu jumlah kluster COVID-19 dikesan di Malaysia setakat ini ialah 4,120 kluster termasuk 2,827 kluster sudah tamat dan 1,293 kluster masih aktif.
Dr Noor Hisham menjelaskan daripada 21,468 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 670 kes (3.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.
Manakala sebanyak 20,798 kes (96.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, hanya 2,703 kes (12.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di vaksinasi (iaitu yang telah mendapat vaksinasi dua minggu selepas dos kedua),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal sebagai negeri mencatatkan kes kematian harian tertinggi dengan
108 kes, diikuti Kuala Lumpur (66), Johor (26), Negeri Sembilan (18), Sabah (15), Kedah (14), Melaka (11), Pulau Pinang (6), Kelantan (5), Perak dan Terengganu masing-masing tiga kes dan Pahang (2).
“Berdasarkan data terkini pada 12 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.05. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.33) diikuti oleh Sabah dan Kelantan (masing-masing nilai RT 1.20), serta Sarawak dan Pulau Pinang (nilai RT 1.17).
“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya.