Tiada mesyuarat tergempar,hanya mesyuarat pengurusan parti
14 OGOS: Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menafikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengadakan Mesyuarat Kabinet tergempar di kediamannya di Bukit Damasara, Kuala Lumpur, hari ini.
Sebaliknya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan beliau mempengerusikan mesyuarat pengurusan parti di situ.
“Cuma mesyuarat pengurusan parti. Saya mempengerusikan mesyuarat itu tadi,” katanya kepada petugas media yang menunggu di luar kediaman Muhyiddin, sebentar tadi.
Ahmad Faizal ditemui ketika beredar dari kawasan kediaman Muhyiddin dengan kenderaannya, kira-kira jam 5.45 petang tadi.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan berlangsung selama kira-kira sejam dan turut dihadiri barisan kepimpinan parti BERSATU yang lain.
Terdahulu, kelihatan beberapa kenderaan membawa pemimpin BERSATU antaranya Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Turut kelihatan hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU terdiri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz.