9 lokaliti di Sabah, Pahang dikenakan PKPD Isnin depan
14 OGOS: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti di Sabah dan Pahang, berkuatkuasa mulai Isnin depan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata di Sabah, PKPD membabitkan Kampung Sungai Pukul dan Kampung Muhibbah Raya, Tawau; Kampung Paka Kawiyan dan Kampung Matupang, Ranau; Perumahan Ladang Excellent Challenger II, Beluran; Kampung Sembirai Lebak Engad, Kota Belud dan Kampung Tuhau, Matunggong, Kudat.
Beliau berkata turut dikenakan PKPD ialah, Blok G, H, K, L, Megalong dan Kawasan Perbandaran Donggongan Fasa Dua dan Pekan Donggongan di Penampang, Sabah.
Hishamuddin yang juga Menteri Luar Negeri berkata satu lagi PKPD akan dilaksanakan di Kampung Orang Asli Terisu, Pos Terisu, Cameron Highlands, Pahang.
“Ketetapan ini dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Hishammddin berkata kerajaan juga bersetuju melanjutkan pelaksanaan PKPD di Kampung Darau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah yang dijadual tamat hari ini kepada sehingga 28 Ogos ini.
“Selepas meneliti pembentangan KKM mengenai situasi semasa, PKPD di Lorong Kuala Laut Likas, Kampung Warisan, Kampung Rakyat Baru, Kuarters Pekerja Imbas Jaya, Jalan Kionsom, Kota Kinabalu serta Gugusan Semarak, PJU 5, Kota Damansara, Petaling, Selangor ditamatkan hari ini.
“PKPD di Kampung Tinusa 2, Sandakan; Lorong 3, Kampung Klias Baru dan Kampung Melulugus, Beufort, Sabah serta Bandar Melati dan Ladang Senang, Rompin, Pahang ditamatkan esok,” katanya.
Hishammuddin juga mengesahkan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan 96 premis perniagaan, kilang dan tapak pembinaan ditutup serta-merta di seluruh negara, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), semalam.
“Polis juga turut mengeluarkan kompaun kepada 149 individu dan menahan reman enam individu kerana melanggar SOP semalam,” katanya.