15 OGOS: Lebih 300 orang terkorban susulan gempa bumi melanda barat Haiti dengan kekuatan 7.2 skala Ritcher yang turut memusnahkan banyak bangunan semalam.
Susulan itu, anggota penyelamat dikerahkan melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi yang berlaku kira-kira 160 kilometer (km) sebelah barat ibu kota Port-au-Prince yang berkepadatan tinggi.
Kali terakhir negara kepulauan Caribbean itu dilanda gempa bumi adalah pada 2010.
“Banyak rumah musnah, orang mati dan ada di hospital.
“Saya berada di dalam rumah ketika gempa. Saya berdekatan tingkap dan lihat semua jatuh. Bahagian dinding yang roboh menimpa belakang saya tetapi ia tak mencederakan saya,” kata Christella Saint Hilaire, 21, yang tinggal berdekatan pusat gempa kepada AFP.
Berdasarkan imej yang dikongsikan oleh seorang saksi memaparkan gempa bumi itu merosakkan sekolah termasuk rumah di semenanjung barat daya Haiti.
Menurut agensi pertahanan awam negara itu, beberapa jam selepas gegaran, jumlah kematian meningkat kepada 304 orang dari 29 kematian yang disahkan.
Jelas agensi itu, ratusan mangsa tercedera dan hilang serta di selatan negara terbabit yang juga pusat gempa, terdapat 160 orang maut.
“Respons awal oleh penyelamat profesional dan orang awam , ramai orang ditarik dari runtuhan. Hospital terus menerima mangsa yang tercedera,” tambahnya.
Berikutan ribuan yang cedera, hospital di wilayah paling teruk terjejas akibat dilanda gempa berusaha untuk memberi rawatan kecemasan.
Sekurang-kurangnya hospital di tiga kawasan perbandaran Pestel, Corailles dan Roseaux penuh, menurut Ketua Agensi Pertahanan Awam, Jerry Chandler.