15 OGOS: Kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas dari pihak berkepentingan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perancangan itu penting bagi kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) serta pakar-pakar kesihatan telah menyarankan kerajaan agar melaksanakan perancangan itu setelah kadar lengkap vaksinasi penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.
“Manakala, kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
“Cadangan ini sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Selain Pulau Langkawi, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi.
“Ini terutamanya yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.
“Walau bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perancangan dan Kerajaan akan melihat hasil projek perintis (Pulau Langkawi) terlebih dahulu. Jika semua berjalan lancar, insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula 16 Ogos 2021 di negeri Fasa 1, sehingga Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Namun, beliau berkata kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja iaitu dibenarkan sepenuhnya beroperasi jika 80 peratus atau 100 peratus pekerja telah divaksin.
“Bagi pekerja yang mencapai tahap 60 peratus hingga 79 peratus, kapasiti pengoperasian hanyalah sekadar 80 peratus dan kapasiti akan menurun sehingga 60 peratus jika hanya 40 peratus ke 69 peratus divaksin.
“Kerajaan faham, keputusan ini akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan. Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati.
“Setelah lebih setahun berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekali gus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan,” katanya.
Justeru, Perdana Menteri mengharapkan agar kemudahan yang diumumkan dapat merancakkan semula perusahaan dan perlu mematuhi serta memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.
“Pada masa yang sama, manfaatkanlah sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan Kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperolehi bayaran gaji mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH