16 OGOS : Sekurang-kurangnya 1,297 orang maut dalam kejadian gempa magnitud 7.2 yang melanda Haiti kelmarin, kira-kira 160 kilometer dari ibu kota, Port-au-Prince, yang pernah musnah dalam gempa bumi pada 2010.
Les Cayes antara bandar yang paling teruk terkesan, ramai penduduk terpaksa bermalam di luar rumah atau di saki-baki runtuhan kediaman yang tinggal, ekoran kebimbangan berlaku gempa baharu.
Agensi keselamatan awam mendedahkan, hampir 13,600 bangunan musnah dan lebih 13,700 pula rosak dengan ramai mangsa terperangkap dalam runtuhan itu selain lebih 5,700 orang cedera.
Bencana alam terbabit berlaku ketika negara Caribbean itu masih terkejut dengan pembunuhan presiden negara itu dan jumlah mangsa dijangka bertambah.
Mangsa yang cedera terpaksa diletakkan atas bangku, duduk di kerusi atau berbaring di lantai kerana hospital sudah penuh dan masih ramai mangsa terus dibawa masuk.
Pasukan penyelamat pula kini berdepan tekanan baharu apabila ribut tropika Grace semakin mendekati dan Perkhidmatan Cuaca Nasional Amerika Syarikat (AS) meramalkan hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh.
AS dan beberapa negara lain sudah menyatakan komitmen bagi membantu Haiti mengatasi bencana alam terbaru itu.
Negara jiran, Republik Dominican, turut menghantar 10,000 pakej bekalan makanan dan kelengkapan perubatan.
Begitu juga Mexico, Cuba dan Ecuador manakala Chile, Argentina, Peru serta Venezuela turut menawarkan bantuan sama seperti AS.