16 OGOS: Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani melarikan diri dari negara itu setelah Taliban memasuki ibu kota Kabul dan mengisytiharkan kemenangan mereka.
Ghani bertindak melarikan diri apabila para pemberontak semakin hampir menawan ibu negara tersebut dan mengambil alih Istana Presiden.
Ashraf berkata, Taliban sudah menang selepas masuk ke Kabul, 20 tahun selepas diusir oleh tentera gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Pergerakan berkenaan telah bertempur dan menewaskan tentera kerajaan selepas tidak mendapat sokongan dari askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang dalam proses pengunduran dengan tarikh akhir pada 31 Ogos depan seperti ditetapkan oleh Presiden AS, Joe Biden.
Taliban telah menyambar pantas negara ini dengan tentera kerajaan tumbang tanpa sokongan tentera AS yang akhirnya berundur sejajar dengan tarikh 31 Ogos depan seperti ditetapkan oleh Biden.
“Taliban telah menang dengan senjata dan pedang serta kini bertanggungjawab untuk maruah, harta benda dan memelihara rakyat mereka,” kata Ghani dalam satu kenyataan menerusi Facebook.
Ghani berkata, beliau meninggalkan Afghanistan adalah bagi mengelakkan berlakuknya pertumpahan darah.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan ke mana beliau pergi tetapi kumpulam media Afghanistan, Tolo menyatakan kemungkinan Ghani pergi ke Tajikistan.
AS ketika diperintah bekas Presidennya, Donald Trump memeterai satu perjanjian dengan Taliban di Doha, Qatar pada tahun 2020 yang menyaksikan pengunduran askar-askar AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang ditetapkan ketika itu iaitu menjelang Mei 2021 dari Afghanistan.
Namun, Biden melanjutkan lagi pengunduran tentera AS dari negara itu tanpa syarat sehingga 31 Mei depan.
Taliban memulakan kemaraan untuk menawan keseluruhan negara itu sejak 6 Ogos lalu apabila ia berjaya menguasai bandar Zaranj di wilayah Nimruz, selatan Aghanistan sebelum diikuti dengan ibu-ibu negeri wilayah Afghanistan selepas meningkatkan serangan ke atas tentera kerajaan.
Sementara itu, jurucakap pemberontak Taliban pula mengesahkan mereka sudah masuk ke beberapa daerah di negeri itu ‘bagi memastikan keselamatan’.
Tiga sumber Taliban memberitahu AFP bahawa mereka sudah menguasai istana presiden dan mesyuarat keselamatan akan diadakan segera.
AS juga semakin giat memindahkan warga mereka termasuk kakitangan Afghanistan ke lapangan terbang Kabul, dengan dibantu oleh ribuan pasukan tentera yang dikerah membantu pemindahan itu.
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, berkata gabungan kuasa Barat kini berusaha memastikan operasi lapangan terbang tidak tergendala untuk membawa pulang rakyat masing-masing.