Penjawat awan perlu kekal berkecuali
15 OGOS: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), menegaskan semua penjawat kerajaan perlu kekal bebas, tanpa dipengaruhi sebarang ideologi politik dalam meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi diraja.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata tindakan berkenaan perlu kerana perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional.
“Penjawat awam perlulah bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko serta sentiasa di lapangan untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas terutama dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.
“Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Adnan berkata CUEPACS menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Jemaah Menteri yang telah memberi khidmat terbaik sehingga akhir tempoh pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional sejak 1 Mac 2020.
Beliau berkata jasa dan pengorbanan Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri amat CUEPACS dan warga penjawat awam hargai terutama dalam membela dan memberi khidmat kepada rakyat dan negara.
“Perhatian dan fokus Muhyiddin terhadap penjawat awam turut CUEPACS hargai. Komitmen ini diharapkan dapat diteruskan oleh kerajaan baharu yang akan dibentuk kelak.
“CUEPACS berharap kerajaan baharu yang dibentuk dapat terus menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Walau apa jua kerajaan yang memerintah, adalah menjadi tanggungjawab untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan negara terlebih dahulu daripada kepentingan lain. Penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan berkesan untuk rakyat serta negara bersandarkan, taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah,” katanya.