15 OGOS: UMNO mencadangkan supaya kerajaan baharu bakal ditubuhkan nanti memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 dan masalah kebajikan rakyat yang semakin meruncing.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO mencadangkan supaya sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk oleh kerajaan baharu kelak.
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata UMNO juga mencadangkan supaya kerajaan membubarkan Parlimen dan mengembalikan semula mandat mutlak kepada rakyat selepas negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.
“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat.
“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya, sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.
“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bersama anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong susulan tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas Zahid bersama 14 lagi Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka.
Justeru, Ahmad Zahid berkata UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon.
“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli Parlimen. Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya.