17 OGOS : Individu yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu haruslah bersikap sebagai seorang ‘bapa’ yang boleh menjaga semua negeri-negeri di bawah pentadbirannya secara saksama.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Perdana Menteri baharu itu kelak boleh meneruskan perjuangan untuk mengembalikan hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak yang telah terhakis
Menurut beliau, ini perlu diteruskan seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sebelum ini, beliau bertimbang rasa kepada kita. Kita boleh mendapatkan sejumlah hak ini semula.
“Jika masih ramai yang menyokong beliau, saya percaya mungkin beliau akan dilantik semula,” katanya kepada media, hari ini.
PBB adalah sebuah komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin pada Mac tahun lalu.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini selaras Perkara 40 (2)(a) dan 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa Seri Paduka hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat ini bagi mempengerusikan Jemaah Menteri.
Muhyiddin dalam satu sidang media khas memaklumkan beliau reda dengan takdir dan ketentuan Allah SWT bahawa beliau dan anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa meletakkan jawatan berkuatkuasa mulai hari ini kerana sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, mereka terpaksa berbuat demikian kerana ada pihak yang lebih rakus untuk merebut kuasa daripada menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyak dan ekonomi negara.