17 OGOS: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 11 lokaliti di Pahang dan Sabah mulai Khamis ini hingga 1 September depan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad ,berkata langkah itu dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.
Beliau berkata antara lokaliti dikenakan PKPD di Sabah termasuklah dua kawasan di Kota Belud iaitu Kampung Kuala Abai dan Kampung Payas-Payas.
Katanya, turut dikuatkuasakan PKPD ialah di Beverly Hills Fasa 3 dan Regency Park, di Penampang; Kampung Iburu dan Kampung Meligan, di Sipitang; Taman Ria Height, Tawau; Kompleks Baiduri Ayu, FELDA Sahabat 9, Lahad Datu; Perumahan Pekerja Ladang Moynod 1, Beluran, Sabah.
“Dua lokaliti dikenakan PKPD di Pahang ialah membabitkan FELDA Jenderak Utara, Kuala Krau, Temerloh dan Ladang Selbourne, Mukim Gua, Lipis, Pahang.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu Rodzi berkata MKN juga akan melanjutkan PKPD di FELDA Tersang 1, 2 dan 3, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang yang sepatutnya tamat esok, bermula Khamis ini hingga 25 Ogos.
Mengulas lanjut, Rodzi berkata PKPD di lapan lokaliti turut ditamatkan esok membabitkan FELDA Krau 1, Mukim Gali, Raub, Pahang.
Beliau berkata turut ditamatkan ialah PKPD di dua lokaliti di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman, Terengganu iaitu Taman Rakyat Bestari Fasa 1 hingga 4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2 dan Mukim Manir, Kuala Terengganu, Terengganu.
“MKN juga bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Banjar, Keningau, Sabah; Kem 3 Sibulu, Tenom, Sabah; Penampang Baru, Penampang, Sabah; Depoh Tahanan Imigresen Tawau, Sabah seperti dijadualkan.
“PKPD di Kampung Banggol Pak Esah, Mukim Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya.