17 OGOS: Semua program dan dasar sedia ada termasuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) tetap diteruskan walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan ‘caretaker’ (sementara).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata ini kerana berdasarkan kepada konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel pula, kerajaan ‘caretaker’ hanya berfungsi untuk mentadbir negara sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.
Mohd Zuki berkata, dalam hal ini, kerajaan ‘caretaker’ boleh mengambil tindakan menjalankan urusan pentadbiran kerajaan, namun ia tidak boleh membuat sebarang keputusan dan dasar yang boleh mengikat.
Katanya, kerajaan ‘caretaker’ tidak boleh mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan itu perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.
“Bagi maksud itu, kerajaan ‘caretaker’ boleh mengambil tindakan seperti menjalankan tugasan rasmi rutin termasuk menjalankan kuasa diberi mengikut undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan berfungsi dan mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan.
“Selain itu, pelaksanaan dasar dan program sedia ada yang peruntukan kewangan sudah disediakan seperti PICK, PPN dan juga bantuan lain sebelum tarikh Perdana Menteri meletakkan jawatan boleh diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, petang tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, kerajaan ‘caretaker’ juga dibolehkan membuat sebarang perjanjian, kontrak dan aku janji dasarnya diluluskan kerajaan atau peruntukan mengenainya sudah diluluskan Parlimen seperti belanjawan tahun semasa; dan mengadakan serta menghadiri majlis rasmi dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan.
Terdahulu, beliau berkata, susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong berkenan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baharu dilantik.
Mohd Zuki berkata, dalam menjalankan tugas itu, Perdana Menteri ‘caretaker’ turut menjalankan fungsi sebagai kerajaan ‘caretaker’.