17 OGOS: Keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik mana-mana individu yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan diharap dapat mewujudkan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.
Bendahari Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara UMNO di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Hishammuddin berkata Mesyuarat MT BN dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini diadakan bagi membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya menamakan seorang calon Perdana Menteri baharu berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), semalam.
Berikutan itu, Hishammuddin yang menegaskan semua pihak harus akur dan berhenti berpolitiking selepas Yang di-Pertuan Agong memilih seorang Perdana Menteri baharu.
“Kita bincangkan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong. Apa yang penting adalah kestabilan politik. Apa juga keputusan Tuanku selepas ini dapat menstabilkan politik tanah air.
“Ini kerana kita mesti memberikan tumpuan kepada perkara lebih penting seperti bagaimana kita mahu menangani COVID-19 dan memulihkan kembali ekonomi negara.
“Kita juga perlu memikirkan bagaimana dapat membela rakyat dan agenda kesejahteraan mereka dalam keadaan sekarang…cukup-cukuplah berpolitik,” katanya.
Ditanya mengenai siapakah calon Perdana Menteri diputuskan MT BN dan MKT UMNO, Hishammuddin meminta wakil media bertanya sendiri kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Keputusan dibuat oleh parti tanyalah kepimpinan parti sendiri. Apa yang penting saya dan rakan bersama kita mahukan kestabilan dan semua pihak selepas ini titah tuanku diputuskan parti politik kita kena fokus kepada agenda negara. bangsa dan tanah air,” katanya.
Hishammuddin juga enggan menjawab soalan wartawan sama ada beliau yakin atau tidak calon pilihan BN dan UMNO bakal diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya.
“Saya tidak tahu itu hak dan keputusan Yang di-Pertuan Agong…Apa jua keputusan baginda kita mahu melihat ke hadapan.. Kita tidak boleh benarkan politik negara sedemikian rupa…banyak kerja lain yang perlu kita buat,” katanya.