18 OGOS: UMNO dan PAS hari ini sepakat menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.
Jelasnya, perbincangan berhubung isu berkenaan dijalankan secara bersama bagi memastikan proses pemilihan calon Perdana Menteri baharu berjalan lancar.
“Justeru, saya mengesahkan bahawa semua 18 Ahli Parlimen PAS juga sepakat untuk menamakan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, pada petang ini.
“Kita juga siapkan semua SD Ahli Parlimen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita sudah bincang dan parti pun sudah buat keputusan. Jadi tiada isulah kerana semua 18 Ahli Parlimen PAS menyokong penuh pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di PWTC selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang berlangsung lebih satu jam hari ini.
Difahamkan, SD daripada semua Ahli Parlimen BN dan PAS, dijangka diserahkan wakil parti masing-masing petang ini kepada Istana Negara dan bukannya dibuat secara individu.
Sebelum ini media melaporkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam notisnya semalam meminta setiap Ahli Parlimen supaya menyerahkan SD bagi mencalonkan nama Perdana Menteri pilihan mereka ke Istana Negara sebelum jam 4 petang ini.
Surat akuan itu perlu dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agung bagi membolehkan baginda membuat penilaiannya dalam menentukan siapakah dalam kalangan 220 Ahli Dewan Rakyat ketika ini memperoleh sokongan majoriti sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen untuk diperkenan sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Setakat berita ini ditulis, UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersetuju untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada blok mereka. Bagaimanapun, berapa jumlah majoriti sebenar diterima bekas Timbalan Perdana Menteri itu belum dapat disahkan.