18 OGOS: Malaysia menilai semula agenda pembangunan kesan penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu.
Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangunan lestari dan arkitek landskap berperanan penting dalam mendorong laluan pembangunan negara ke arah hala tuju rendah karbon dan ketahanan iklim.
Beliau berkata, pandemik menyebabkan gangguan teruk kepada kehidupan dan ekonomi, justeru semua pihak perlu menjamin pemulihan ekonomi negara dan terus berkembang serta pada masa sama melindungi alam sekitar.
“Ia sentiasa menjadi isu yang sukar, apabila ada persaingan kedua-dua pihak, satu pihak memerlukan pendekatan secara beransur-ansur, manakala satu pihak lagi lebih agresif dan radikal.
“Kerajaan Malaysia berharap dapat mengimbanginya secara adil. Malaysia akan terus menyokong pecutan tindakan dan hala tuju tranformatif dalam Agenda Pembangunan Lestari 2030,” katanya ketika merasmikan Persidangan Arkitek Landskap Sedunia (IFLA 2020) secara maya, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Malaysia juga mengiktiraf prinsip kepentingan kesatuan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) dalam agenda pembangunan negara.
Beliau berkata langkah berkenaan akan dicerminkan melalui pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang menyasarkan kepada pembangunan yang adil serta pengagihan sumber yang saksama ketika merapatkan jurang di semua peringkat.
Katanya lagi, negara melaksanakan pelan pembangunan jangka panjang setiap lima tahun dan tahun ini menandakan tahun pertama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Strategi melindungi alam sekitar dan ekonomi hijau menjadi pemangkin penting kepada agenda pembangunan negara yang termasuk pemerkasaan ekonomi, penjagaan alam sekeliling dan penjanaan semula sosial.
“Kami juga komited mematuhi Perjanjian Paris untuk mengehadkan peningkatan suhu dunia sehingga 1.5 darjah Celsius dan mengurangkan pembebasan karbon. Memontum itu sedang dibina dan kami akan memberi sokongan kepada komitmen lain pada masa depan di bawah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26).
“Adalah amat penting untuk seluruh komuniti antarabangsa menghormati kekangan planet ini dan menghargai sumber asli kita,” katanya menambah, Malaysia juga menerima idea bahawa orang ramai boleh menanam sendiri makanan di keliling kediaman.
Justeru, Muhyiddin berkata, pelbagai usaha membangunkan kebun bandar yang dilaksanakan komuniti tempatan akan diteruskan selaras fokus pada konsep ‘dari ladang ke meja’ untuk mengurangkan beban kos rumah tangga terutama membabitkan mereka yang tinggal di bandar besar.
“Kekurangan makanan dan bekalan rantaian makanan yang tidak menentu ekoran pandemik juga membawa idea kepada konsep ‘Edible Cities and Productive Landscapes’.
“Kedua-dua konsep yang mengetengahkan landskap pertanian sebagai sebahagian daripada infrastruktur hijau bandar yang moden, dari kebun dapur dan kebun bahan makanan kepada kebun komuniti yang membolehkan orang ramai menanam sendiri bahan makanan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, semua pihak sudah boleh mula memikirkan landskap pertanian sebagai infrstruktur perlu di semua bandar raya, manakala perancangan landskap dan reka bentuk juga perlu mengintegrasikan aspek itu dalam kehidupan di bandar.