18 OGOS: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya mengemukakan satu nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri baharu.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata sokongan terhadap calon berkenaan dibuat secara sebulat suara oleh pemimpin GPS.
Bagaimanapun, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak enggan mendedahkan nama Ahli Parlimen yang dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri baharu berkenaan.
“Kami sudah mengemukakan nama kepada Istana Negara, tetapi saya tidak boleh mendedahkan siapa, saya tidak boleh mendahului Agong,” katanya selepas perjumpaan khas bersama Ahli Parlimen GPS di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, Sarawak hari ini.
Ketika ditanya sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menghubunginya bagi menarik sokongan GPS terhadap Pakatan Harapan (PH), Abang Johari berkata perkara seumpama itu tidak berlaku.
Dalam pada itu, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof juga enggan mendedahkan nama calon Perdana Menteri Ke-9 yang disokong GPS.
“Tunggulah pengumuman Agong, kita tidak mahu masuk campur urusan pemilihan Perdana Menteri,” katanya.
Untuk rekod, GPS yang menggabungkan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai 18 kerusi Parlimen.
Daripada jumlah itu, PBB mempunyai 13 kerusi; PRS dan PDP masing-masing dua kerusi dan SUPP satu kerusi.