18 OGOS: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini hampir pasti akan dipilih sebagai calon Perdana Menteri (PM) Malaysia Kesembilan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebentar tadi yang memaklumkan bahawa pihak Istana Negara sudah menghantar jemputan kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri supaya hadir untuk membuat pengesahan.
Menurut Ahmad semua Ahli Parlimen berkenaan akan hadir membuat pengesahkan di Istana Negara dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan menaiki lima bas sewa khas mulai jam 10 pagi hingga 4 petang esok.
“Esok (Khamis) bermula jam 10 pagi, kami Ahli Parlimen UMNO/BN akan bertolak ke Istana Negara menaiki bas.
“Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk membuat pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Ini bererti Datuk Seri Ismail Sabri adalah calon PM yang menang,” katanya dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.
Difahamkan, sebahagian Ahli Parlimen juga akan hadir berasingan untuk mengiringi Ismail Sabri untuk membuat pengesahan pencalonannya sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Ahmad juga percaya kejayaan berkenaan adalah hasil usaha semua pihak termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hassan serta Ahli Parlimen lain yang menyokong pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Ini tentu berkat kesepaduan bersama diketuai oleh Datuk Seri Presiden bersama Timbalan Presiden UMNO, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan semua Ahli Parlimen BN/UMNO. Moga Allah memberkati perjuangan mulia untuk rakyat ini,” katanya.
Terdahulu media melaporkan majoriti Ahli Parlimen UMNO/BN dan Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS dan BERSATU hari ini mencapai kata sepakat untuk mencalonkan nama Ahli Parlimen Bera berkenaan sebagai Perdana Menteri Malaysia baharu susulan perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.