19 OGOS : Kumpulan pertama Ahli Parlimen daripada UMNO tiba di Istana Negara, di sini, pada jam 10.35 pagi tadi.
Mereka tiba dengan menaiki sebuah bas persiaran dan beberapa kenderaan lain.
Antara ahli Parlimen UMNO yang kelihatan ialah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, sebuah lagi bas persiaran dinaiki Ahli Parlimen BERSATU tiba jam 10.42 pagi.
Antara yang kelihatan menaiki bas itu Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien.
Sementara itu, kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut dilihat memasuki Istana Negara melalui pintu 2 kira-kira jam 9.35 pagi pada Khamis.
Kehadiran Mohd Zuki dipercayai mempunyai kaitan dengan pertemuan ahli-ahli Parlimen yang hadir ke istana negara hari ini.
Sebelum itu, kenderaan yang membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilihat memasuki Istana Negara melaui pintu sama pada jam 9.25 pagi
Seterusnya pada sesi 2 petang dijangka seramai 25 ahli Parlimen termasuklah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Rina Mohd Harun (Titiwangsa) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) akan mengadap Seri Paduka Baginda.
Manakala selepas itu, pada pukul 3.10 petang pula melibatkan 22 ahli Parlimen manakala pada pukul 4.20 petang pula 18 ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang).
Difahamkan, sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu bertujuan mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.