19 OGOS: Pengguna komersial Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Insentif Sinaran Merdeka berpeluang menerangi bangunan dan kawasan persekitaran mereka dengan lampu hiasan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini tanpa bimbang bil elektrik terlalu tinggi.
TNB memaklumkan, insentif yang diberikan sejak tahun 2000 itu ditawarkan kepada semua pengguna di bawah tarif perdagangan (tariff B, C1 dan C2) yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun (sebelum 1 Ogos 2020), untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2021.
“Ia melibatkan pengguna komersial seperti bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks beli-belah, hotel dan stesen minyak.
“Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (mengikut kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2021,” jelas TNB dalam satu kenyataan hari ini.
Manfaat insentif khas itu akan dimasukkan ke dalam bil bulan Oktober 2021 yang akan dipaparkan sebagai ‘Diskaun Karnival’ dan promosi tersebut bermula pada 1 Ogos 2021 sehingga 15 September 2021.
Pelanggan boleh memohon secara online melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran.