19 OGOS : Seramai 114 Ahli Parlimen mewakili Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta ahli Parlimen bebas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Sesi terakhir menghadap Seri Paduka Baginda selesai membabitkan Ahli-Ahli Parlimen PAS selepas kenderaan membawa mereka keluar meninggalkan Istana Negara sekitar jam 3.50 petang.
Mengetuai sesi menghadap kumpulan terakhir adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Ahli Parlimen Marang.
Ahli Parlimen BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah pagi hingga tengah hari.
Sebanyak lima kumpulan sesi menghadap Ahli Parlimen berlangsung hari ini, dengan sesi pertama membabitkan Ahli Parlimen UMNO yang tiba di Istana Negara pada jam 10.30 pagi.
Daripada lima sesi menghadap itu, empat sesi dibuat secara fizikal dengan Ahli Parlimen dengan setiap diberi masa antara satu hingga dua minit secara bergilir-gilir untuk menyembah maklum secara lisan sokongannya kepada calon Perdana Menteri.
Seramai 17 Ahli Parlimen GPS juga telah selesai menghadap Seri Paduka Baginda yang disempurnakan secara maya di Sarawak manakala Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang berada di Kuala Lumpur telah menghadap Agong di Istana Negara.
Sesi menghadap hari ini bertujuan mengesahkan surat akuan sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera merangkap Naib Presiden UMNO.
Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengadap Yang di-Pertuan Agong yang dilihat tiba di Istana Negara pada jam 2.45 petang.
Kenderaan yang membawa beliau bersama beberapa kenderaan pengiring lain dilihat keluar dari Pintu 1, Istana Negara jam 3.45 petang.
Setakat petang ini, sesi menghadap Ahli Parlimen hanya membabitkan blok BN, PN, GPS serta bebas tanpa kehadiran Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) Plus.
Ini kerana berdasarkan temu bual media bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata janya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja dijemput ke Istana Negara. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH