19 OGOS: Kes kematian jangkitan COVID-19 merekodkan penurunan dua hari berturut-turut selepas mencatatkan 178 kes hari ini berbanding semalam iaitu 293 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, kes kematian hari ini membabitkan 155 warganegara manakala 23 lagi merupakan warga asing.
Menurut beliau, ini menjadikan jumlah kumulatif kematian setakat negara dilanda wabak COVID-19 sebanyak 13,480 kes.
“Sebanyak 178 kes kematian pada hari ini, melibatkan 65 kes di Selangor, 36 kes di Johor, 23 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 11 kes di Sabah, masing-masing lapan kes di Pulau Pinang, Pahang, dan Melaka.
“Selain itu, lima kes di Kelantan, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan, Sarawak, dan Terengganu, serta masing-masing satu kes di Kedah dan Perak,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan semula kepada 22,948 dan daripada jumlah itu, 22,939 kes daripada adalah kes tempatan manakala empat lagi merupakan kes import.
Beliau berkata, jumlah kes yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ketika ini adalah seramai 1,060 orang termasuk dan 528 yang memerlukan bantuan pernafasan menjadikan kumulatif kes aktif sebanyak 255,534 kes.
“Daripada 22,948 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 457 kes (2.0 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 22,491 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Secara keseluruhan, 17,981 kes (78.4 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap divaksinasi,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 42 kluster baharu dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 23 adalah kluster berkaitan tempat kerja, 15 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan serta satu masing-masing kluster kumpulan berisiko tinggi dan keagamaan.
Bagi kluster tempat kerja, 10 direkodkan di Industri Perusahaan Satu Beranang, Industri Serendah 17, Industri Sungai Janggut, Tapak Bina Lembah Selatan 2, Industri Cheras Jaya 1/4, Tapak Bina Laluan Klang Banting, Tapak Bina Jalan U12, Tapak Bina Hulu Yam Bharu, Industri Jalan Taib Sungai Choh serta Jalan Ria 25.
“Lorong Perusahaan Bukit Minyak Sembilan, Jelawat Dua Seberang Jaya, Zon Dagang Bebas 4A, Jalan Perindustrian Bukit Minyak Satu merupakan kluster baharu di Pulau Pinang manakala di Kelantan di Jalan Kampung Sigal, Industri Taman Desa Kemumin, dan Tasek Raja 2 serta Industri Kemasul di Pahang.
“Manakala selebihnya diJalan Tepi Sungai Melintang Jalan Izzudin, Industri Kinta Rahman, Perak; Perindustrian Seelong Jaya, Jalan Canggih Sembilan di Johor. Bagi kluster komuniti, lokaliti terlibat di Kelantan adalah Pos Blau, Kampung Kuin Pasir, Taman Desa Johan, Jalan Engku Muda,Kampung Gaung Komuniti dan Kampung Jejulok Banggu.
“Selain itu, empat lokaliti di Sarawak iaitu Nanga Puti, Senibong, Kampung Bunga Serian serta selebihnya di Jalan Wawasan, Jalan Teknologi 10, Johor; Dah Kampung Ladang, Kedah; Rantau Teratai, Pahang; Pulai Tengah; dan Kampung Tasek Kubu, Terengganu. Tembok 2 dan Dah DTI adalah kluster baharu pusat tahanan manakala
Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan Sungai Buaya merupakan kluster kumpulan berisiko tinggi serta kegamaan,” katanya.
Tambah beliau, umlah keseluruhan kluster kini berjumlah 4,348 dan sebanyak 2,945 kluster telah ditamatkan di samping hanya 1,403 kluster yang masih aktif,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH