19 OGOS: Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 akan diperhalusi, diperkemas dan diperkukuhkan, selari dengan usaha mentransformasikan, mengangkat prestij dan keberkesanan Dewan Negara sebagai organisasi tertinggi legislatif negara.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Rais Yatim, berkata langkah berkenaan bukan hanya sekadar meneliti aspek keistimewaan Dewan Negara dan anggotanya, tetapi turut meliputi struktur serta organisasi pentadbiran Parlimen supaya kedudukannya lebih dihormati.
Rais berkata transformasi itu sejajar konsep pengasingan kuasa dan demi memastikan mekanisme berkenaan benar-benar berfungsi dengan baik, termasuk bagi maksud semak dan imbang.
“Parlimen sebagai badan legislatif tidak boleh berada di bawah pengawasan Eksekutif kecuali hal berkaitan rundingan kewangan.
“Selain itu, beberapa jawatankuasa yang memiliki kuasa undang-undang terutama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Khas Sosio Budaya, Komunikasi dan Pendidikan akan diteraskan peranannya.
“Ini bagi memastikan ia lebih terkehadapan dalam isu yang membelenggu rakyat bagi memastikan tindakan serta penyelesaian segera dilunaskan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, langkah transformasi itu dicapai secara konsensus dan rentas parti menerusi perbincangan maya, ‘Senat Obor Baharu Parlimen Malaysia’, yang disertai ahli Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, laporan langkah transformasi itu akan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.
“Segala usaha murni mentransformasi Parlimen di bawah kerangka legislatif negara bukan hanya untuk kepentingan Dewan Negara.
“Sebaliknya, ia turut merangkumi Dewan Rakyat supaya institusi ini benar-benar diangkat daulatnya sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi negara,” katanya.