19 OGOS: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan dakwaan orang ramai bahawa operasi kuari bijih besi di Tupah menjadi punca banjir di kawasan kaki Gunung Jerai sekitar Merbok, petang semalam.
Muhammad Sanusi berkata kejadian kepala air yang berlaku, semalam berpunca dari puncak gunung, manakala kuari terletak di bahagian kaki gunung.
“Aliran air datang dari atas puncak gunung dan kuari pula berada di bawah. Jika hendak dakwa kuari ini menyebabkan sumber air yang ‘redah’ rumah orang ramai, saya rasa tak masuk akal.
“Air itu bermula 200 meter di atas gunung, di atas gunung bukan ada apa tapi ia memang dari sana. Saya pun tak tahu bagaimana mereka boleh kaitkan kawasan di kaki gunung mengakibatkan kepala air,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan kewujudan dua kuari yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu di Merbok, antara punca banjir melanda kawasan penempatan yang terletak berdekatan kaki Gunung Jerai, semalam.
Kuari bijih besi seluas 26 hektar berdekatan Pusat Rekreasi Tupah itu dikatakan menjadi punca Sungai Tupah menjadi cetek sehingga tidak mampu menampung aliran air yang turun dari puncak Gunung Jerai.
Terdahulu, Muhammad Sanusi ditemui menyerahkan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada waris mangsa kepala air, di Kampung Sedaka,.