20 OGOS: Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab demi menjaga keselamatan dan kesihatan diri apabila berada di khalayak ramai, termasuk di masjid dan di kawasan awam lain.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Perikatan Nasional (PN) juga meminta semua pihak untuk terus berdoa supaya sentiasa dilindungi Allah SWT daripada COVID-19 dan diberi kekuatan untuk ujian akibat pandemik ketika ini.
“Kita perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila kita berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan di kawasan awam lain.
“Berdoalah agar kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dari virus COVID-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini.
“Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, insya-Allah.
“Oleh itu, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Itulah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.
“Jika kita sentiasa berpandu kepada jalan Allah, Al-Quran dan Sunnah, saya yakin dan percaya hidup kita akan lebih tenang dan bermakna,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya, sebentar tadi.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri ke-8 itu melahirkan rasa syukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan SOP yang teratur dan ketat.
Hantaran yang dimuat naik kira-kira jam 2.30 petang itu mendapat 36,000 tanda suka, kira-kira 1,300 komen dan dikongsi hampir 900 kali.