20 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan (PM-9).
Dengan pelantikan ini, Datuk Seri Ismail Sabri merupakan pemimpin ketiga dari negeri Pahang yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan Ahli Parlimen Bera berkenaan dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah berkenaan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Berikutan itu, Ismail Sabri dijangka menandatangani suratcara pelantikan, mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 di Istana Negara, pada jam 2 petang, esok.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politikdengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara sebentar tadi.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata baginda juga mengingatkan Ahli Dewan Rakyat upaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan,
komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI.