22 OGOS: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor bakal menerima peruntukan tambahan RM150,000 dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Hasni berkata kerajaan negeri berharap pemberian peruntukan keseluruhan berjumlah RM11.1 juta berkenaan akan mempercepatkan penyaluran bantuan segera kepada rakyat Johor yang terjejas akibat COVID-19 melalui wakil rakyat.
“Saya berharap peruntukan tambahan ini boleh digunakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan masyarakat di kawasan DUN Yang Berhormat sekalian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dipersidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.
Hasni yang juga ADUN Benut berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) yang juga Ketua Pembangkang mengenai apakah jenis bantuan yang disampaikan oleh agensi selain kerajaan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menyalurkan pelbagai bantuan menerusi agensi di bawah kerajaan negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor, bagi membantu rakyat Johor terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Bagi membantu golongan sasar khususnya terjejas COVID-19, tiga siri bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor iaitu PRE Ihsan Johor 1, PRE Ihsan Johor 2 dan PRE Ihsan Johor 3 dilancarkan dengan peruntukan sebanyak RM491.25 juta bagi membiayai kesemua 103 inisiatif.
“Kesemua ini memberikan manfaat kepada hampir satu juta penerima melibatkan pelbagai golongan rakyat di negeri Johor,” katanya.