23 OGOS: Kira-kira 55.6 peratus daripada populasi dewasa penduduk Malaysia sudah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 lengkap sehingga semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan berkata sebanyak 441,100 pemberian dos satu dan dua didaftarkan dalam negara pada 22 Ogos.
Katanya daripada jumlah itu, 303,545 adalah bagi dos kedua, manakala 137,555 dos yang didaftarkan semalam adalah bagi dos pertama.
“Dengan pertambahan itu menyaksikan jumlah peratusan vaksinasi populasi dewasa dalam negara meningkat kepada 55.6 peratus yang sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala, 78 peratus lagi sudah menerima sekurang-kuragnya satu dos vaksin.
“Jumlah kumulatif pemberian vaksin dalam negara kini meningkat kepada 31.28 juta,” kata JKJAV yang berkongsikan data berkenaan menerus Twitternya hari ini.
JKJAV berkata bagi peratus populasi keseluruhan pula, 39.9 peratus (13.02 juta) sudah melengkapkan vaksinasi mereka dengan 55.9 peratus (18.25 juta) sudah menerima satu dos suntikan.
“Wilayah Persekutuan mencatatkan peratusan populasi yang melengkapkan vaksinasi tertinggi 90.6 peratus diikuti Sarawak (84.6 peratus), Lembah Klang (83.3 peratus), Negeri Sembilan (71.3 peratus) dan Perlis (61.4 peratus),” katanya.