23 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan kerja pertamanya dengan meluangkan masa hampir sejam untuk meninjau lokasi terjejas akibat kejadian kepala air dan banjir lumpur, di Tupah, Merbok, Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Sejurus tiba jam 12.15 tengah hari tadi, yang diiringi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor diberikan taklimat ringkas mengenai kejadian ‘tsunami kecil’ melanda kawasan terbabit.
Selepas selesai taklimat ringkas Perdana Menteri Malaysia kesembilan itu dibawa meninjau Jambatan Tupah yang rosak akibat dihentam balak hanyut Rabu lalu, dan diberi penerangan berkaitan bencana kepala air di kawasan Kuala Muda.
Ismail Sabri yang diiringi Menteri Besar Kedah, kemudian meninjau keadaan beberapa rumah penduduk yang terjejas dan dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir kilat akibat kejadian berkenaan.
Beliau yang meluangkan masa kira-kira 20 minit di kawasan perumahan itu turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk terlibat.
Perdana Menteri kemudian bergerak ke daerah Yan untuk melihat operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan di Titi Hayun serta kampung-kampung terjejas.
Ismail Sabri dalam komennya di Facebook peribaninya menyatakan perasaan sedih dan hiba melihat keadaan 1,856 kediaman dan premis perniagaan yang musnah dan terjejas teruk akibat bencana alam ini.
“Selepas lawatan di Merbok, Daerah Kuala Muda, Kedah saya kini berada di Titi Hayun, Yan, bagi melihat sendiri kesan bencana banjir yang berpunca daripada fenomena kepala air yang melanda kawasan ini tempoh hari.
“Sedih dan hiba melihat keadaan 1,856 kediaman dan premis perniagaan yang musnah dan terjejas teruk akibat bencana alam ini.
“Banjir buruk yang berlaku telah meragut enam nyawa dan ketika saya berada di Titi Hayun, mayat mangsa keenam yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai ditemui pasukan penyelamat. Al-Fatihah kepada mangsa-mangsa yang terkorban. Semoga keluarga mereka tabah menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Kompleks Bangunan Perdana Putra, Putrajaya kira-kira pukul 8.23 pagi tadi bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.
Beliau kemudian meninggalkan Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9.19 pagi tadi untuk lawatan kerja rasmi pertamanya ke Kedah.
Naib Presiden UMNO berkenaan dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas selesai istiadat pengurniaan surat cara pelantikan, mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara pada kelmarin.