23 OGOS : Muafakat kerajaan dan pembangkang secara formal serta melaksanakan transformasi pentadbiran yang bermakna merupakan satu aspek penting yang perlu dijayakan oleh semua pemimpin.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan segera menjemput Ketua Pembangkang untuk menyusuri gagasan tersebut.
Menurut beliau, parti parti politik pembangkang boleh memulakan budaya penglibatan yang sihat dan positif serta menukar budaya membangkang dengan cara yg tidak konstruktif.
“Apapun kata orang, “it takes two to tango” (perlu bersama baru berjaya). Ini bermakna budaya politik parti pemerintah juga perlu turut berubah.
“Saya rangkumkan keseluruhan ucapan (Perdana Menteri), “Keluarga Malaysia” itu berpaksikan muafakat dan semangat ktu perlu di suburkan.
“Hentikan politik puak,politik confrontational, politik hatred, politik bully, politik supremacy, politik taksub, politik assabiyah dan semua ciri ciri mazmuah, gantikan dengan politik order baru dengan ciri ciri mahmudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Annuar memaklumkan satu daripada perkara penting bagi Kerajaan Perdana Menteri Kesembilan (PM-9) adalah menstabilkan politik negara agar pulihnya keyakinan para pelabur di samping memastikan ekonomi tumbuh dan segar kembali.
“Dalam konteks pemulihan ekonomi,kerajaan PM9 perlu berani mengambil beberapa langkah di luar kotak biasa dengan memudahkan urusan pelaburan dan perniagaan di samping memberi insentif terbaik kepada sektor perniagaan.
“Kerajaan juga perlu memotong segala bentuk karenah birokrasi yang menyulitkan para peniaga, pelabur, pemaju dan lain lain.
“Usaha yang khusus bagi membentuk suasana kondusif serta mesra perniagaan perlu diwujudkan.
“Peluang pekerjaan perlu diwujudkan agar anak muda dapat segera masuk ke sektor produktif.Ruang penglibatan anak muda dan wanita perlu segera diberi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerjasama rentas parti menerusi tawaran kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 adalah wajar disambut bagi memastikan kestabilan politik dapat diwujudkan.
Menurut beliau, pendekatan Keluarga Malaysia yang diketengahkan adalah bertepatan dengan usaha perpaduan yang sedang dibawa.
“Seperti yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pendekatan ini bertujuan untuk menyatukan semua pihak dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda.
“Saya turut menyambut baik akan keputusan Perdana Menteri untuk meneruskan usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini di samping menambah baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) agar negara segera beralih ke fasa pemulihan.
“Saya terus berdoa semoga Keluarga Malaysia dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala seterusnya merealisasikan impian kita semua,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH