Beralih ke Fasa 2, rakyat NS nikmati beberapa kelonggaran
24 OGOS: Negeri Sembilan bakal beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Khamis ini berikutan keadaan COVID-19 yang bertambah baik di negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata laporan dikemukakan oleh KKM juga menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam (23 Ogos 2021).
Beliau berkata perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima 2 dos.
“Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan mengumumkan peralihan Fasa PPN di Negeri Sembilan daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas MKN dan atas nasihat KKM,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Berikutan itu, Perdana Menteri berkata penduduk di Negeri Sembilan bakal menikmati pelbagai kelonggaran seperti pergerakan rentas daerah dibenarkan bagi individu yang lengkap 2 dos vaksin.
Beliau berkata, pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya telah lengkap 2 dos vaksin.
“Ibu bapa/ penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa, dengan syarat kedua ibubapa/ penjaga mestilah lengkap 2 dos vaksin.
“Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang lengkap 2 dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri. Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima 2 dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN),” katanya.
Beliau berkata pelanggan yang telah lengkap menerima 2 dos vaksin dibenarkan untuk dine-in di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi.
Katanya, aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat WAJIB telah menerima 2 dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay.
“Maklumat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih terperinci boleh didapati di laman sesawang www.mkn.gov.my.
“Bagaimanapun, seluruh rakyat diingatkan untuk terus mematuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri demi menjaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya.