25 OGOS: Keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam barisan Kabinet kerajaan baharu akan diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Perdana Menteri sudah pastinya mahu membentuk Kabinet beliau sendiri yang dirasakan mampu bekerjasama dengan baik.
“Tidak ada gunanya jika Perdana Menteri melantik orang yang hebat sekali pun tetapi tidak boleh bekerjasama, sebab Kabinet nanti tidak boleh berfungsi seperti sepatutnya.
“Jadi itu (lantikan TPM) terpulanglah kepada Perdana Menteri,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan termasuk wang tunai kepada 100 penduduk di beberapa kampung di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan keperluan untuk Timbalan Perdana Menteri dilantik dalam barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri atau memadai dilantik menteri-menteri kanan seperti sebelum ini.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan peluangnya sebagai menteri dalam barisan Kabinet baharu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah memaklumkan, beliau berharap dipilih sekali lagi sebagai menteri.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu memberitahu ini kerana masih mempunyai urusan yang belum diselesaikan terutama berkaitan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Saya masih mahu menyelesaikan isu seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat serta dasar pembangunan kepada bumiputera serta kaum-kaum lain.
“Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang juga tidak terlalu jauh, maka kerajaan baharu hari ini adalah sangat penting. Saya tidak rasa kita boleh adakan dasar baharu.
“Jika ada pun, mungkin hanya penambahbaikan terhadap kelemahan sebelum ini untuk kebaikan semua kaum, jadi kita perlu tolak perbezaan politik antara kita,” katanya.